Tips Kewangan Untuk Orang Bujang

Orang bujang yang ada pendapatan kena bijak urus kewangan. Sementara masa bujang inilah anda perlu ambil kesempatan untuk bina simpanan dan buat matlamat kewangan. Ada orang nak beli rumah di usia muda, ada orang nak bebas hutang sebelum umur 30-an dan ada orang nak rancang hari persaraan. Semua matlamat ini tak mustahil untuk dicapai asalkan ada disiplin yang tinggi.

 

Kalau anda masih bujang, anda beruntung sebab belum ada komitmen yang besar. Peluang ini mesti digunakan sepenuhnya untuk anda capai matlamat kewangan anda mengikut perancangan.

 

Ikuti perkongsian kali ini tentang tips kewangan untuk orang bujang.

 

Tip #1 Buat kerja sampingan

Orang bujang tak terikat dengan komitmen keluarga dan lebih bebas untuk buat apa-apa aktiviti. Daripada tak buat apa, lebih baik masa lapang yang anda ada digunakan untuk jana pendapatan. Tips ini bukan sekadar isi masa lapang, malah isi duit poket anda! Tengok idea buat kerja sampingan di sini.

 

Masa anda bujanglah masa terbaik untuk buat kerja sampingan. Bila dah berkeluarga nanti, anda perlu fokus kepada pasangan dan anak-anak pula. Sekurang-kurangnya, bila anda bertindak seawal bujang lagi, matlamat kewangan anda akan segera tercapai.

 

Tip #2 Cari aktiviti percuma dan kos rendah

Selalunya orang bujang bila lepak dengan kawan-kawan akan pilih ke kafe hipster atau ke pusat membeli-belah. Alasannya, sekali sekala. Apa kata tukar cara anda bersosial dengan buat aktiviti yang tak keluarkan banyak kos? Contohnya anda boleh bersiar-siar di taman, sertai kelas percuma dalam talian, picnic, berjoging dan banyak lagi.

 

Banyak aktiviti percuma dan kos rendah yang anda boleh nikmati dengan gembira. Bukan saja fun, malah beri impak kepada kestabilan kewangan seterusnya melatih gaya hidup yang sederhana dan bermakna.

 

Tip #3 Menyewa dengan bijak

Kalau tempat kerja anda dekat dengan rumah keluarga, lebih baik duduk dengan keluarga. Tapi kalau jauh, menyewalah dengan bijak. Kalau boleh, jangan menyewa lebih daripada 30% dari pendapatan. Sebagai orang bujang, pertimbangkan untuk menyewa bilik di kawasan yang bersesuaian dengan kos pergi dan balik kerja. Paling bagus, cari rakan bilik yang boleh bahagi perbelanjaan dengan anda. Cara ini boleh mengurangkan kos tempat tinggal dan anda boleh guna duit lebihan untuk buat pelaburan atau bina tabung simpanan.

 

Tip #4 Buat penolakan automatik

Jangan sia-siakan fungsi penolakan automatik yang ada pada bank. Buat cara ini terutama untuk pembayaran bil atau bayaran hutang yang berulang setiap bulan. Contohnya, ASBF, hutang kereta, bil telefon dan sebagainya. Cara ini adalah untuk mengelakkan pembayaran lewat dan untuk pastikan komitmen anda dapat diselesaikan tepat pada masanya.

 

Tip #5 Beli barang second hand

Sejak kebelakangan ini, budaya beli barang dan pakaian second hand semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Mungkin makin ramai yang mula menyedari kualiti dan harga yang berpatutan disamping prihatin terhadap alam sekitar. Bak kata netizen, anda kena rajin “selam” tempat seperti bundle. Ada pelbagai barang, fesyen dan jenama. Orang bujang yang suka membeli-belah, pertimbangkan beli barang second hand berbanding yang baru. Anda mungkin jumpa apa yang anda mahukan dengan harga yang jauh lebih berbaloi dan mesra poket.

 

Tip #6 Review dan adjust perbelanjaan secara kerap

Penting ke review perbelanjaan setiap masa? Jawapannya, ya. Dengan cara ini menjadikan anda seorang yang peka dengan keadaan kewangan anda.

 

Contohnya anda nak ada simpanan 10 ribu setahun. Maka anda kena pastikan anda menyimpan sekurangnya 800 ringgit sebulan.

 

Contoh lain, anda nak belanja 1,000 ringgit untuk bulan Ogos, maka anda kena pastikan anda tidak melebihi bajet yang ditetapkan. Kena selalu review supaya tak mudah lupa diri. Tengok perbelanjaan yang boleh dikurangkan untuk bulan akan datang. Contohnya, bil telefon. Mana tahu ada tawaran dan pelan yang lebih baik dengan harga yang lebih baik? Anda akan lebih jimat di situ.

 

Tip #7 Buat networking

Apa kena mengena networking dengan kewangan?

 

Ramai yang tak menyedari kepentingan networking sebenarnya beri kesan kepada kewangan. Orang bujang jangan lepaskan peluang untuk bina networking. Sebab dengan cara inilah ramai mendapat peluang kolaborasi perniagaan, peluang pekerjaan yang lebih baik serta pengalaman dalam mengasah soft skill.

 

Tip #8 Melabur ke dalam diri sendiri

Kata Warren Buffet.

 

"The best investment you can make is an investment in yourself. The more you learn, the more you earn."

 

Melabur ke dalam diri sendiri bermaksud anda tambah dan asah ilmu dan kemahiran. Contohnya belajar melabur saham, belajar bina perniagaan, belajar teknologi AI dan macam-macam lagi.

 

Masa, tenaga dan duit yang dilaburkan untuk ilmu dan kemahiran akan menjadikan anda seorang yang berdaya saing dalam dunia pekerjaan. Bukan itu saja, anda juga mudah menyesuaikan diri dan berdikari dalam mendepani sebarang perubahan industri dan teknologi kerana anda sudah bersedia dengan ilmu yang anda teroka. Itulah impaknya bila anda melabur ke dalam diri sendiri. Dengan ilmu, anda tidak mudah risau tentang kewangan peribadi anda.

 

Demi mencapai matlamat kewangan yang anda rancang, 8 tip kewangan yang saya kongsikan menjadi batu asas untuk anda bergerak lebih laju ke hadapan. Sementara masih bujang, jadikan perjalanan anda sebagai satu peluang untuk membina asas kewangan yang kukuh dan stabil. Selamat mencorak masa depan!

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.