Buy Now Pay Later (BNPL) atau lebih mudah difahami dengan Beli Dahulu Bayar Kemudian merupakan kaedah pembayaran yang tidak asing pada zaman sekarang. Lebih lagi kemudahan ini telah diadaptasi oleh kebanyakan syarikat digital di luar sana seperti Shopee, Grab, Seng Heng, Traveloka dan lain-lain.
Anda sendiri sedia maklum, kemelut kewangan yang melanda telah mengubah cara rakyat Malaysia berbelanja. Harga barang terus meningkat dan simpanan jadi berkurang hingga menyebabkan kelembapan ekonomi negara. Sebab itu kewujudan BNPL jika dilihat dari satu sudut, ia sangat positif kerana memberi pilihan kepada pengguna untuk membayar apa yang mereka perlu dan mahukan secara ansuran. Sekaligus merancakkan ekonomi negara.
Tapi, tidak bermakna anda boleh menggunakan BNPL sesuka hati tanpa perancangan yang jelas. Anda kena tahu tip berbelanja menggunakan BNPL melalui artikel ini supaya tidak terjerumus ke dalam lembah hutang yang membebankan masa depan.
Kalau boleh, bila anda terfikir dan tergerak hati untuk gunakan BNPL, pastikan anda betul-betul terdesak untuk berbelanja. Utamakan barang keperluan berbanding barang kemahuan. Sebab tanpa barang keperluan, anda mungkin lebih susah untuk teruskan hidup.
Kalau anda ‘gatal’ tangan nak membeli barang kemahuan seperti smartphone, perabot dan lain-lain, pastikan keperluan anda sudah anda selesaikan. Menggunakan BNPL umpama anda menambah komitmen dalam kewangan anda. Tak mahu pening kepala memikirkan komitmen bulanan, lebih baik kumpul duit saja untuk beli barangan kemahuan.
Kadangkala, harga sesuatu barang atau servis yang anda perlukan agak mahal dan membebankan anda untuk bayar secara lump sum. Dengan adanya BNPL, anda boleh bayar secara ansuran tetapi dengan syarat, mestilah bayar secara penuh ansuran yang ditetapkan. Bukan itu saja, anda mesti bayar ansuran yang dipersetujui tepat pada masanya. Kalau terlewat bayar, ada caj yang akan menanti anda.
Ramai yang terlepas pandang tentang ini. Iaitu caj yang dikenakan sekiranya anda terlewat membayar ansuran pada waktu yang ditetapkan. Anda kena jelas bahawa setiap platform mempunyai terma dan syarat yang berbeza. Terutama dalam pembayaran balik jumlah yang anda gunakan. Pastikan bila guna BNPL, anda study terlebih dahulu platform yang anda gunakan.
Berbelanja menggunakan BNPL memang mudah. Tapi paling bahaya bila anda tak kawal perbelanjaan. Tanpa sedar, anda rupanya guna BNPL untuk beli 2-3 barang dalam bulan yang sama. Bila nak bayar balik ansuran, mestilah terbeban sebab hutang yang sedikit bila dikumpul jadi banyak.
Sebab itu setiap kali anda gunakan BNPL, anda kena cakna setiap transaksi anda. Kalau boleh rancanglah perbelanjaan yang melibatkan BNPL agar anda boleh berbelanja dalam kawalan.
Secara kesimpulannya, BNPL adalah kemudahan yang boleh bertukar menjadi bebanan sekiranya anda tersilap langkah menggunakannya. Bagi mengelakkan anda terjerumus dari bebanan hutang, lebih baik anda tambah pengetahuan yang mendalam sebelum menjadikan BNPL sebagai alat untuk anda berbelanja.
Anda semua kena jelas, BNPL bukanlah solusi untuk anda berbelanja sakan pada bila-bila masa. BNPL bukan duit percuma. Anda tetap kena bayar semula jumlah yang digunakan. Jadi, berbelanjalah dalam keadaan terkawal. Untuk masa depan yang bebas dari hutang yang menyesakkan.
50% Complete
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.