Overnight Policy Rate atau OPR adalah sangat penting sebagai ukuran terhadap kadar pinjaman, kadar deposit dan pertukaran mata wang asing. Baru-baru ini OPR di Malaysia mengalami kenaikan sebanyak 25 mata basis pada bulan Mei dan 25 mata basis lagi pada Julai 2022 oleh Bank Negara Malaysia. Kalau anda masih ingat, semasa Covid-19 melanda, kadar OPR diturunkan sehingga mencecah 1.75% dan telah merekod sejarah kadar OPR paling rendah sejak 2004.
Naik dan turun kadar OPR bukan suatu keputusan sambil lewa. Ia dikawal selia oleh Bank Negara bagi memastikan pergerakan tunai dalam ekonomi negara dalam keadaan baik. Kalau dulu kadar OPR diturunkan sebanyak 4 kali adalah untuk mempercepatkan kadar pemulihan ekonomi akibat Covid-19. Kini kenaikan OPR yang dibuat oleh Bank Negara ini adalah susulan ekonomi negara yang beralih ke fasa pemulihan.
Memandangkan hal ini berkait rapat dengan ekonomi, adalah penting untuk anda faham OPR di Malaysia dan kesan kenaikan OPR. Supaya anda boleh bersedia dengan segala kesan OPR terutama bab kewangan anda pada masa akan datang.
Sumber: Freepik
Kalau anda nak tahu, pinjaman terbahagi kepada dua iaitu kadar tetap dan kadar berubah. OPR yang naik tidak mempengaruhi pinjaman kadar tetap seperti contoh pinjaman kereta. Pada hari anda beli kereta, kadar faedahnya adalah tetap dan tidak berubah sampai bila-bila. Cuma, untuk kenaikan OPR baru-baru ini akan mempengaruhi pinjaman kadar berubah yang merangkumi pinjaman perumahan, ASBF ataupun kad kredit.
Pinjaman yang disebutkan di atas akan mengalami kesan kenaikan pada ansuran bayaran setiap bulan. Ini bermakna, jika anda ada pinjaman kadar berubah, komitmen bulanan anda akan bertambah. Jadi kalau sebelum ini duit lebihan pendapatan boleh disimpan, kini duit tersebut digunakan untuk bayar kenaikan ansuran bulanan pula.
Sumber: Freepik
Kesan kenaikan OPR juga menyebabkan pinjaman bank akan diketatkan. Dalam erti kata lain, nak buat pinjaman akan jadi lebih susah selepas ini. Ini disebabkan anda sukar untuk melepasi DSR (Debt Service Ratio) kerana duit lebihan sudah tidak banyak selepas ditolak bayaran pinjaman sebelum ini.
Contohnya:
Gaji: RM3,000
Pinjaman rumah: RM1,200 (selepas kenaikan OPR)
Pinjaman kereta: RM500
Jumlah pinjaman: RM1,700
Baki yang tinggal: RM3,000 - RM1,700 = RM1,300 (sahaja)
Baki RM1,300 tersebut mungkin anda perlukan perbelanjaan bulanan seperti pendidikan anak-anak, atau belanja dapur dan lain-lain komitmen perbelanjaan.
Dekat sini, nak tambah pinjaman untuk bina perniagaan contohnya, kelulusan adalah tipis jika DSR anda tidak melepasi standard yang ditetapkan oleh Bank.
Sumber: Freepik
Kuasa beli dalam kalangan rakyat Malaysia juga turut terkena tempiasnya sebab apabila OPR naik, mereka yang mempunyai pinjaman akan menumpukan fokus mereka untuk membayar lebih komitmen mereka terhadap hutang. Ini menyebabkan orang ramai lebih berhati-hati dalam membelanjakan duit mereka. Pada ketika ini ekonomi akan jadi lebih perlahan.
Sekarang, anda dah tahu kesan kenaikan OPR di Malaysia. Soalnya, apa signifikannya kenaikan OPR ini kepada anda dan negara? Kenapa OPR perlu dinaikkan pada waktu sekarang?
Inflasi merupakan keadaan di mana harga barang bertambah disebabkan bertambahnya kuasa beli. Inflasi ini merupakan “pencuri” dalam senyap bagi kita semua. Tanpa kita sedar, duit yang banyak pun rasa tidak cukup dek kerana harga barang dan perkhidmatan semakin meningkat. Cuba anda fikir flashback semula semasa kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi dibuka semula daripada siri PKP yang sambung menyambung. Waktu itu anda dapat lihat orang ramai berpusu-pusu pergi melancong dan berbelanja.
Ini tidak pelik kerana pada fasa pandemik Covid-19 tahun 2020 dan 2021 dulu, kadar OPR di Malaysia diturunkan supaya dapat push mengurangkan kesan kelembapan ekonomi.
Sekarang, kita dapat lihat harga barang kian meningkat berterusan. Ini adalah petanda yang kadar inflasi negara semakin meningkat. Untuk mengelakkan hal ini terus jadi lebih teruk, kenaikan OPR adalah penting untuk membendung kenaikan inflasi yang tidak terkawal.
Jika kita lihat keadaan ekonomi sekarang, ia semakin baik dan pulih daripada kesuraman Covid-19. Peluang pekerjaan semakin banyak, sektor perniagaan dibuka seluasnya untuk beroperasi, sektor pelancongan diberi nafas baru dan banyak lagi. Dalam skop yang lebih besar, keadaan ekonomi Malaysia penting untuk meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelabur asing untuk melabur dalam negara kita.
Sektor ekonomi mula bergerak rancak berbanding semasa PKP yang banyak sekatan operasi untuk menghentikan rantaian Covid-19. Apabila BNM sudah nampak perkembangan positif ini, maka sudah tiba masanya menaikkan OPR untuk kepentingan semua pihak secara berperingkat.
Secara keseluruhannya, kenaikan OPR baru-baru ini bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak. Walaupun kesannya agak menyakitkan, tindakan ini adalah perlu dan mempunyai kepentingan dari aspek ekonomi bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang maju dan berdaya saing seterusnya bangkit dari kesuraman Covid-19.
Kenaikan OPR sememangnya peringatan untuk anda berhati-hati dalam berbelanja. Jadi apa yang penting setelah anda tahu kesan kenaikan OPR di Malaysia ini adalah, kita semua perlu bersiap sedia dalam segenap aspek terutama bab kewangan demi masa depan yang lebih baik.
50% Complete
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.