Semua orang sedia maklum, duit KWSP tidak boleh dikeluarkan sebelum seseorang mencapai umur persaraan iaitu pada 55 tahun. Setiap caruman yang dibuat bersifat beku dan tidak boleh dikeluarkan sewenangnya. Tapi, ada satu situasi unik yang membolehkan seseorang mengeluarkan duit KWSP. Istimewa buat mereka yang mempunyai jumlah simpanan secukupnya, mereka dibolehkan menggunakan sebahagian simpanan akaun 1 KWSP mereka untuk melabur dalam Unit Trust.
Kemudahan ini dipanggil Skim Pelaburan Ahli. Skim ini diperkenalkan oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan peluang keemasan untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan seterusnya meningkatkan simpanan persaraan.
Malangnya, masih ramai lagi yang tidak tahu menggunakan duit KWSP untuk melabur Unit Trust. Jadi dalam artikel kali ini, anda akan mengetahui lebih lanjut bagaimana anda boleh gunakan duit KWSP untuk melabur dalam Unit Trust supaya dengan memanfaatkan kelebihan ini, anda dapat menangani risiko kemiskinan menjelang hari tua.
Setiap kemudahan pasti ada terma dan syarat untuk melayakkan anda menggunakan duit KWSP untuk melabur dalam Unit Trust. Antaranya:
Amaun kelayakan minimum adalah sebanyak RM1,000. Sebelum anda melabur, anda perlu jelas tujuan pelaburan adalah untuk menggandakan duit sedia ada. Anda juga perlu jelas, setiap pelaburan terdedah dengan risiko kerugian. Jadi amat penting untuk anda mengawal duit sedia ada agar tidak berlaku kerugian yang teruk. Sebab itulah KWSP sangat menitikberatkan agar mereka yang mahu melabur ke portfolio pelaburan lain, paling maksimum adalah 30% daripada jumlah simpanan untuk dilaburkan dan perlu melepasi simpanan asas akaun 1 yang ditetapkan oleh KWSP.
Sumber : KWSP
30% daripada jumlah duit KWSP merupakan amaun yang tepat untuk membenarkan ahli melabur ke instrumen lain. Ia jumlah yang tidak terlalu sedikit, tidak juga terlalu banyak. Hal ini bertujuan supaya anda boleh mengawal sebarang kehilangan modal pada masa akan datang.
Sebagai contoh, anda berumur 25 tahun. Jika pada umur 55 tahun anda perlu ada paling kurang RM240,000 maka pada umur 25 tahun sepatutnya simpanan anda mencecah RM24,000 dalam akaun 1 KWSP. Merujuk pada jadual jumlah simpanan asas yang KWSP tetapkan, anda perlu mempunyai paling kurang RM18,000.
Gunakan formula ini untuk melihat sama ada anda layak melabur duit KWSP ke dalam Unit Trust ataupun tidak:
(Baki dalam akaun 1 - Simpanan Asas) x 30%
(RM24,000 - RM18,000) x 30% = RM1,800 (Anda layak memohon pengeluaran KWSP untuk tujuan pelaburan Unit Trust. Amaun kelayakan minimum adalah RM1,000.00 dan maksimum adalah RM1,800)
Terdapat dua cara untuk anda memohon melabur Unit Trust menggunakan duit KWSP iaitu:
Cara 1: Melalui platform i-invest - Permohonan dibuat melalui dalam talian sahaja.
Cara 2: Melalui borang permohonan di Institusi Pelaburan Dana (IPD) atau Penasihat Institusi Unit Amanah (IUTA).
Untuk pengetahuan anda, IPD yang anda pilih bertanggungjawab mengembalikan semua hasil jualan kepada KWSP. Hasil jualan sama sekali tidak akan dikreditkan ke dalam akaun peribadi anda demi menjaga simpanan hari tua dari berlaku sebarang kebocoran.
Ini bermakna anda hanya akan menikmati pulangan pelaburan sebaik sahaja mencapai umur persaraan kerana itulah matlamat sebenar Skim Persaraan Ahli ini diwujudkan. Asasnya untuk mempelbagaikan portfolio dan meningkatkan simpanan hari tua.
Walaupun KWSP merupakan platform yang konsisten memberikan dividen setiap tahun, skim ini memberi peluang untuk anda mendapatkan potensi keuntungan yang lebih baik.
Anda perlu jelas, setiap duit KWSP yang dikeluarkan untuk tujuan pelaburan ke dalam Unit Trust secara automatik anda tidak layak menerima dividen daripada KWSP. Oleh sebab itu, mengetahui selok-belok pelaburan adalah sangat penting sebelum anda bertindak mengeluarkan duit KWSP dan labur dalam Unit Trust.
Secara keseluruhannya, situasi ekonomi yang merudum disebabkan Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan simpanan hari tua kebanyakan individu di Malaysia. Isu risiko kemiskinan pada hari persaraan semakin kuat diperkatakan dalam akhbar tempatan kesan daripada pandemik ini.
Sumber : Sinar Harian
Jadi, dengan peluang untuk melabur sebahagian duit KWSP ke dalam Unit Trust dapat membuka jalan untuk menggandakan simpanan sedia ada. Jika anda belum mempunyai simpanan yang mencukupi, tambahlah ilmu pengetahuan supaya anda mengetahui banyak lagi potensi menggandakan duit anda.
Semoga bermanfaat.
Sumber :
50% Complete
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.