Bila sebut kad kredit, saya percaya ramai yang ada sentimen buruk tentang instrumen kewangan ini. Mana tidaknya, saban tahun orang ramai sentiasa didedahkan dengan kes muflis dan kebankrapan yang berpunca daripada salah guna kad kredit. Sedangkan kalau anda tahu cara guna kad kredit, lebih banyak kelebihan berbanding keburukan yang anda akan dapat.
Tahukah anda? Statistik di Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan, kadar penurunan telah berlaku sejak tahun 2018 hingga 2022 tentang kes yang melibatkan kad kredit. Yang mana hanya 179 orang yang diisytihar bankrap setakat September 2022 berbanding jumlah yang agak besar pada tahun 2021. Statistik ini merupakan kesan yang positif dalam kalangan masyarakat yang semakin bagus dalam mengendalikan kewangan mereka khususnya dalam menggunakan kad kredit.
Berpegang kepada misi mencerahkan ilmu kewangan kepada masyarakat, artikel kali ini saya akan berkongsi dengan lebih lanjut tentang cara guna kad kredit dengan betul supaya orang ramai lebih bijak dalam menggunakan kad kredit.
Cara menggunakan kad kredit dengan betul adalah anda perlu melangsaikan secara penuh bagi setiap transaksi yang anda gunakan melalui kad kredit.
Contohnya:
Anda beli smartphone berharga RM2,000 menggunakan kad kredit. Makan anda wajib membayar semula secara penuh sebanyak RM2,000.
Anda dinasihatkan untuk tidak membayar jumlah minimum walaupun ia dibenarkan dalam terma dan syarat penggunaan kad kredit. Ramai orang terlepas pandang perkara ini. Memang salah satu kemudahan yang terdapat dalam kad kredit adalah anda dibolehkan untuk membayar jumlah minimum daripada jumlah keseluruhan yang anda gunakan. Biasanya jumlah minimum adalah sekitar 2%-5%. Bermakna, kalau anda guna kad kredit sebanyak RM2,000, anda boleh bayar RM40-RM100 sebagai jumlah minimum.
Tapi, itu bukan cara guna kad kredit yang betul. Kerana baki hutang yang dibawa ke bil seterusnya akan dikenakan caj faedah yang boleh menyebabkan hutang anda semakin bertambah dari jumlah yang sepatutnya anda bayar. Anda perlu ingat, caj faedah kad kredit adalah sangat tinggi iaitu mencecah maksimum 18% setahun. Sebabkan banyak pengguna tidak cakna akan hal ini, maka tidak hairan kadar kebankrapan disebabkan kad kredit menjadi tinggi setiap tahun. Kerana hutang bertambah dan makin bertambah tanpa sedar hingga memudaratkan diri sendiri.
Satu perkara yang anda kena jelas, kad kredit bukanlah instrumen untuk anda dapatkan duit secara segera. Atau instrumen yang anda gunakan sebab anda tak mampu nak beli sesuatu. Sebagai pengguna kad kredit, anda perlu bertanggungjawab untuk memastikan diri anda mampu membayar semula jumlah yang digunakan. Adalah tidak bertanggungjawab sekiranya anda guna kad kredit sehingga RM5,000 sedangkan anda hanya mampu bayar RM2,000 sahaja. Memang anda boleh guna kad kredit sehingga limit yang ditetapkan oleh bank. Tapi tak semestinya jumlah itu yang anda mampu.
Maka, sebelum guna kad kredit jangan lupa “ukur baju di badan sendiri”. Sebab itulah sebelum anda memohon kad kredit, anda perlu pastikan diri anda mampu berbelanja dalam kawalan terlebih dahulu.
Nak mohon kad kredit di Malaysia berbeza bergantung kepada terma dan syarat yang bank telah tetapkan. Tapi secara keseluruhannya pemohon kad kredit mesti mempunyai pendapatan untuk meyakinkan pihak bank bahawa anda boleh membayar semula transaksi yang digunakan.
Tapi cara guna kad kredit yang terbaik sepatutnya anda terhadkan bilangan kad kredit yang anda mohon. Walaupun anda layak memiliki lebih dari satu kad kredit di bank-bank yang berbeza, anda sepatutnya tidak berbuat demikian. Sebab tindakan ini lebih memberi galakan untuk anda berbelanja tanpa kawalan. Sebab anda ada “alat” untuk beli dulu bayar kemudian.
Seperti biasa, setiap kemudahan pasti ada hadnya. Termasuk kad kredit. Had yang ditetapkan untuk satu kad kredit biasanya dua kali ganda dari gaji bulanan anda. Contohnya gaji anda RM3,000 sebulan. Maka had kad kredit anda adalah RM3,000 x 2 iaitu RM6,000.
Saya perlu highlight tentang had maksimum ini kerana saya tak mahu anda menggunakan kesemua jumlah yang dibenarkan. Anda boleh belanja sampai RM6,000, tapi isunya anda mampu bayar semula jumlah tersebut?
Cara guna kad kredit yang betul, pastikan anda mempunyai disiplin dengan hanya menggunakan kad kredit apabila perlu sahaja. Seperti contoh membayar peti ais baharu berharga RM1,000. Dan anda melangsaikan hutang kad kredit RM1,000 dalam tempoh masa yang ditetapkan. Jangan guna kad kredit untuk membayar smartphone yang mencecah harga RM6,000 (contoh had kad kredit) atau apa sahaja barang/perkhidmatan yang jumlahnya mencecah keseluruhan had kad kredit anda.
Setiap kali anda guna kad kredit, pastikan anda sentiasa periksa transaksi anda secara hitam putih. Simpan semua resit fizikal dan semak semula penyata di bank. Zaman sekarang lagi mudah, boleh log masuk secara online. Cara ini adalah supaya anda boleh mengawal perbelanjaan melalui kad kredit agar tidak menghampiri bajet perbelanjaan yang sepatutnya.
Bukan itu saja, kalau ada sebarang caj, ada percanggahan transaksi serta ada penggunaan kad kredit yang tidak dibuat atas kebenaran anda, anda boleh ambil perhatian dan merujuk semula pihak bank untuk penjelasan.
Secara keseluruhannya, kad kredit bukanlah instrumen kewangan yang memudaratkan orang ramai secara keseluruhan. Dalam mudarat, ada juga terselit manfaat yang besar di dalamnya. Kebankrapan yang berpunca dari penggunaan kad kredit yang saban tahun ada dalam data pihak Jabatan Insolvensi Malaysia perlu kita akui dan tidak boleh disangkal lagi. Tapi dengan usaha masyarakat dalam meningkatkan pengetahuan tentang pengurusan kewangan khususnya tentang cara guna kad kredit dengan betul, tidak mustahil data tersebut boleh disifarkan suatu hari nanti.
Ke arah pengurusan kad kredit yang lebih cemerlang, inshaallah. Moga bermanfaat.
50% Complete
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.