Cara Bina Tabung Kecemasan

simpanan Jul 21, 2022

Membina tabung kecemasan adalah asas ke arah bebas kewangan. Bila cakap asas sudah tentu tabung kecemasan adalah elemen yang tidak boleh anda abaikan. Tanpa tabung kecemasan, sesiapa saja boleh jadi gelisah dan tak keruan. Mana tidaknya, ia ibarat “pelampung” dalam waktu-waktu sukar.

 

Seperti kita tidak boleh meneka cuaca, seperti itu juga kita tak boleh meneka apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. 

 

Jadi, artikel kali ini akan berkongsi lebih lanjut tentang cara bina tabung kecemasan agar anda semua bersedia menempuh perkara yang tidak dijangka pada masa depan.


Bina tabung kecemasan supaya pendapatan sedia ada tidak terjejas jika ada perkara tidak diingini berlakuSumber: Freepik

Apa itu tabung simpanan kecemasan?

Sebelum saya kongsikan cara bina tabung kecemasan, anda mesti fahami dulu apa itu tabung kecemasan. Nak bina tabung kecemasan pula memerlukan kesabaran dan kesungguhan. Bukan semua gaji anda boleh letak lump sum dalam tabung simpanan. Pendapatan anda mesti dibahagikan dengan bijak dan tidak boleh abaikan tabung ini.

 

Tabung kecemasan adalah tabung di mana anda menyimpan sejumlah duit untuk anda gunakan apabila berlaku sesuatu kecemasan. Dalam erti kata lain tabung kecemasan sebagai sandaran atau back up apabila anda berada dalam kesusahan.

 

Contoh situasi kecemasan seperti kemalangan, kereta rosak, ahli keluarga sakit dan sebagainya. Semua perkara itu memerlukan duit dan kos yang mungkin mengganggu komitmen bulanan anda. Atau mungkin anda terpaksa menanggung kos melebihi pendapatan anda sendiri.

 

Sebab itu ada pepatah menyebut “sediakan payung sebelum hujan”. Dengan tabung kecemasan yang anda bina sejak awal, anda boleh tarik nafas lega selepas itu. Tak perlu pinjam duit dengan saudara mara atau kawan-kawan. Tabung kecemasan setia berkhidmat apabila diperlukan.

 

Cara nak bina tabung kecemasan

Selepas anda dah tahu tabung kecemasan lebih dalam, tiba masanya untuk anda ikuti cara-cara yang betul dalam membina tabung kecemasan seperti:


Setiap bulan perlu konsisten membuat simpanan ke dalam tabung kecemasanSumber: Freepik

Langkah #1 Konsisten menyimpan untuk 6-12 bulan perbelanjaan

Kalau tanya saya berapa jumlah yang sepatutnya ada sebagai tabung simpanan, saya akan jawab 6-12 bulan perbelanjaan bulanan anda. Cadangan ini digunapakai oleh ramai pakar dan penasihat kewangan di luar sana. Gaji yang anda dapat mesti anda agihkan secara konsisten selagi belum penuh 6-12 bulan perbelanjaan.

 

Contoh:

RM2,500 (Jumlah perbelanjaan sebulan)

RM2,500 x 6 bulan = RM15,000 atau

RM2,500 x 12 bulan = RM30,000.

 

Menurut contoh kiraan di atas, anda perlu ada sekurang-kurangnya RM15,000 sebagai tabung kecemasan dan jumlah yang lebih baik adalah RM30,000. Walaupun jumlah itu agak banyak, sebab itu anda perlu konsisten membinanya. Bukan bermakna anda perlu dapatkan duit yang banyak dan letak lump sum sekaligus. 

 

Sekiranya suatu masa nanti perbelanjaan anda berubah, maka simpanan sasaran untuk tabung kecemasan juga mesti berubah. Ia bergantung pada perbelanjaan. Apa yang penting, ingat formula ini untuk bina tabung kecemasan:

 

Jumlah Perbelanjaan Bulanan x 6 Bulan = Tabung Kecemasan.


Duit simpanan kecemasan hanya boleh digunakan sekiranya berlaku kecemasan sahajaSumber: Freepik

Langkah #2 Jangan usik simpanan dalam tabung kecemasan

Satu perkara yang anda perlu jelas tentang tabung ini adalah untuk tujuan kecemasan. Jangan cuba-cuba untuk lari dari matlamat asal simpanan ini dibuat. Anda tidak boleh keluarkan duit dalam tabung kecemasan ini sesuka hati seperti membeli sport rim, handphone baru dan lain-lain. Kalau anda langgar juga pendirian terhadap tabung ini, jangan sesekali skip cara seterusnya.


Wajib topup semula duit kecemasan yang telah digunakan untuk kegunaan pada masa depan.
Sumber: Freepik

Langkah #3  Top up semula atau kuat kuasakan denda

Setiap kali anda guna atau terguna simpanan dalam tabung kecemasan ini, anda mesti top up semula pada bulan seterusnya. Jangan sampai jadi kosong. Paling bagus jika anda tetapkan denda jika terguna duit dari tabung ini. Sebagai contoh anda menyimpan dua kali ganda dari duit yang anda gunakan. Cara ini boleh membentuk disiplin dan tabiat yang bagus untuk konsisten menyimpan.


Letak duit tabung kecemasan ke dalam ASB atau Tabung Haji supaya mudah dikeluarkan

Langkah #4 Simpan di tempat yang mudah dikeluarkan dan beri pulangan

Tempat simpanan juga main peranan untuk tabung kecemasan. Tiada guna rasanya jika anda menyimpan di tempat yang susah untuk anda keluarkan ketika berhadapan hal kecemasan.. Lebih baik adalah tempat yang memberi pulangan dalam masa yang sama mudah dikeluarkan.

 

Contoh yang boleh saya berikan adalah seperti dalam ASB dan Tabung Haji. Ini adalah tempat yang berisiko rendah yang sangat sesuai menyimpan duit kecemasan anda.

 

Secara keseluruhannya, bak kata orang, “langit tak selalunya cerah, awan tak selalu mendung”. Begitu juga dengan kehidupan. Ada pasang surutnya. Sekejap senang, sekejap susah.

 

Sebab itu membina tabung kecemasan bukan suatu pilihan. Tapi suatu kemestian supaya anda mencapai tahap bebas kewangan dengan lebih cepat yang anda inginkan.

 

Nak belajar bina simpanan 6 angka dan optimumkan cashflow anda? Klik sini sekarang

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.