Apa Itu FOMO? Kesan Negatif dan Cara Menanganinya

Pernah tak anda rasa takut ketinggalan dalam sesuatu perkara? Tak senang duduk bila tak tahu perkembangan semasa dan rasa tak senang hati bila anda tak dapat benda sama macam orang lain dapat?

 

Itulah simptom yang dipanggil FOMO (Fear of Missing Out). Sindrom FOMO ini terjadi disebabkan anda mudah terpengaruh dengan apa yang anda dengar, lihat dan baca setiap hari. Lebih lagi kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini menjadikan kita semua dekat antara satu sama lain. Semua orang boleh tengok kehidupan orang lain hanya dari hujung jari. Pakai baju apa, makan apa, beli apa dan macam-macam lagi. Maka, tidak hairan sindrom FOMO mudah terbentuk dalam diri seseorang.

 

Tapi, AWAS! FOMO boleh bagi kesan negatif terhadap perbelanjaan anda. Jadi, dalam artikel kali ini saya akan kongsikan tentang FOMO, kesan negatif dan cara menanganinya.

 

Kesan negatif #1 Belanja secara tak terkawal. 

Bila tengok media sosial, anda akan sering mahukan sesuatu dengan segera tanpa “ukur baju di badan sendiri”. FOMO dengan orang sekeliling. Orang minum kopi hipster, anda pun nak juga. Orang beli baju vogue and fashionable, anda terus beli laju-laju. Orang kata sana sini tempat viral, terus pergi. Akhirnya, terlebih belanja dan menjadikan kewangan anda tidak stabil.

 

Kesan negatif #2 Tekanan perasaan

FOMO menjadikan anda sentiasa membandingkan hidup dengan orang lain dari sudut kewangan. Setiap kali tak dapat apa yang anda nak, anda akan jadi tertekan dan mudah rasa tak puas hati. Nak belanja macam orang kaya di media sosial, tapi tak mampu. Lebih membimbangkan, FOMO juga mendorong anda buat hutang semata-mata untuk memenuhi kepuasan sendiri. Bila belanja dan berhutang ikut nafsu, mula rasa nak menyesal sebab duit habis belanja untuk sesuatu yang sebenarnya anda tak perlukan.

 

Kesan negatif #3 Tiada jaminan kewangan.

Sindrom FOMO boleh membuatkan anda tidak hairan langsung untuk bina simpanan kecemasan. Sedangkan itulah asas dalam membina kewangan yang kukuh dan stabil. Anda mungkin rasa simpanan kecemasan tidak penting buat masa sekarang. Tapi macam mana dengan masa depan? Kalau sesak perlukan duit segera, dekat mana anda nak dapatkan duit? Sebab itu peribahasa Melayu ada menyebut, “sediakan payung sebelum hujan".

 

Sekarang, anda sudah tahu betapa FOMO beri kesan negatif terhadap perbelanjaan anda. Jadi, apa cara untuk menanganinya? Teruskan membaca.

 

Cara #1 Hadkan penggunaan media sosial

Punca utama yang mencetuskan sindrom FOMO ini adalah daripada platform media sosial. Jadi, sangat penting untuk anda mengehadkan pendedahan media sosial supaya anda dapat mengurangkan godaan berterusan terhadap sesuatu perkara. Kalau sebelum ini anda menghadap sosial media 5 jam sehari, mungkin boleh dihadkan kepada 2 jam sahaja. Anda sedia maklum yang nak tukar tabiat lama memang agak sukar. Tapi anda boleh alihkan fokus anda dengan membuat aktiviti yang lebih bermanfaat dan bermakna. Contohnya bersiar-siar, melukis, berkebun dan macam-macam lagi.

 

Cara #2 Buat belanjawan

Tak salah sekali sekala kalau anda nak ikut perkembangan semasa. Nak beli baju cantik, dan travel sana sini. Tapi mestilah di bawah kemampuan. Bukan ikut orang. Buat belanjawan bulanan supaya setiap perbelanjaan anda dibuat secara terancang. Bukan belanja secara tiba-tiba. Pastikan anda utamakan perbelanjaan yang benar-benar penting dan disiplin mematuhi belanjawan yang anda sendiri tetapkan.

 

Cara #3 Pupuk rasa syukur dalam diri

Memupuk rasa syukur dalam diri akan menjadikan anda seorang yang bersederhana dalam perbelanjaan. Sebenarnya, kehidupan anda sudah cukup sempurna kalau nak dibandingkan dengan kehidupan orang yang ditindas di luar sana. Sebab itu, perasaan syukur mesti dilatih supaya anda boleh mengurangkan keperluan untuk sentiasa mengejar apa yang orang lain lakukan. Bila anda mula membandingkan hidup orang yang lebih kaya dan mewah, bandingkan juga dengan orang yang tak ada harta dan hidup bagai pelarian di negara sendiri seperti di Syria.

 

Nampaknya, FOMO bukanlah sindrom yang boleh dipandang sebelah mata. Hanya sebab takut ketinggalan dan bimbang terlepas trend semasa atau apa-apa peluang, akan bagi impak besar dalam perbelanjaan anda. Jadi, sesekali anda kena bersikap “JOMO” (Joy of Missing Out) iaitu berasa puas dan bahagia daripada mengikuti orang lain. Dalam dunia di mana ramai orang sentiasa berhubung dengan smartphone dan media sosial, sikap JOMO akan jadikan perbelanjaan anda terkawal dan kewangan yang lebih terjamin.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.