5 Tip Urus Kewangan Dengan Bijak

kewangan Oct 20, 2022

Ramai orang anggap, nak urus kewangan ini suatu perkara yang rumit. Menyimpan, bayar hutang, bayar komitmen, melabur dan banyak lagi! Banyak yang nak kena fikir, mana ada masa nak urus semua benda. Sebabkan nampak macam rumit, ada yang biarkan saja kewangan tanpa diuruskan dengan baik.

 

Ada juga yang menganggap, gaji belum cukup besar. Tak perlu beriya nak urus kewangan. Gaji kecil urus kewangan ala kadar saja dah cukup. Duit keluar dan masuk pun tak perlu peduli.

 

Apa yang boleh saya katakan, mentaliti sebegini mesti dibuang jauh dari pemikiran masyarakat. Sebenarnya, nak urus kewangan tidaklah serumit yang disangka. Hanya perlu hadamkan 5 tip uruskan kewangan dengan bijak yang akan saya kongsikan dalam artikel kali ini. Supaya anda dapat aplikasikan dalam kehidupan seterusnya menolak tanggapan yang salah tentang mengurus kewangan.

 

Tip #1 Rekod perbelanjaan

Senang ke susah nak rekod perbelanjaan?

 

Jawapan saya senang saja. Kalau dulu mungkin agak leceh sebab setiap kali belanja, kena bawa buku kecil ke mana-mana dan catat satu persatu.

 

Tapi sekarang sangatlah mudah bila ada kemudahan teknologi. Tinggal muat turun aplikasi dalam Play Store atau App Store dalam smart phone anda. Saya sendiri aplikasikan cara ini dan terbukti berkesan  untuk kenalpasti habit dan corak perbelanjaan saya.

 

Kalau anda nak tahu, sejak 2015, saya gunakan aplikasi Spending Tracker dan data perbelanjaan masih ada saya simpan sampai sekarang. Setiap kali saya isi minyak, saya rekod dalam apps. Setiap kali saya belanja makan, saya rekod dalam apps. Secara automatik sudah jadi kebiasaan untuk rekod segala perbelanjaan yang saya buat setiap hari.

 

Anda mungkin tak nampak kesannya dalam masa sebulan, tapi bila anda dah mula konsisten, anda akan nampak betapa merekod perbelanjaan akan mempengaruhi cara anda mengurus kewangan. Tanpa rekod perbelanjaan, anda mungkin tak tahu ke mana sebenarnya duit anda dibelanjakan.

 

Tip #2 Simpan dalam instrumen pelaburan

Biasanya bila sebut tentang pelaburan, ada setengah orang yang excited sebab ada potensi untuk duit simpanan digandakan. Ada juga setengah orang yang skeptikal sebab risiko untuk kehilangan modal itu sentiasa ada.

 

Sebenarnya apa yang anda perlu tahu tentang tujuan anda melabur adalah untuk menangani kenaikan inflasi. Dalam mengurus kewangan, anda mesti tahu inflasi adalah musuh utama dalam senyap. Tanpa sedar, harga barang meningkat dan kuasa beli anda jadi berkurang. Kalau anda ada simpanan RM10,000, lama kelamaan tak ada apa yang anda boleh beli dengan harga RM10,000. Sebab semua benda harga meningkat.

 

Daripada anda simpan duit anda di rumah atau di dalam bank biasa, duit anda tidak akan berkembang. Lebih baik simpan dalam instrumen pelaburan kerana ada juga potensi duit anda dikembangkan. Sekurang-kurangnya, carilah instrumen pelaburan yang berisiko rendah seperti melabur dalam ASB atau fixed deposit. Tapi anda kena ingat, low risk low return.

 

Jangan jadikan anda takut risiko sebagai batu penghalang untuk anda tidak menyimpan dalam instrumen pelaburan.

 

Tip #3 Join kelas/ seminar kewangan

Tidak dinafikan, banyak orang dalam dunia ini sukakan shortcut. Nak lalu jalan yang cepat sampai ke destinasi. Dalam konteks kewangan pun sama. Kalau urus kewangan hari ini, nak terus dapat hasilnya esok atau lusa. Nak terus kaya, tak payah rekod perbelanjaan atau buat pelaburan.

 

Realitinya, mana ada shortcut seperti itu. Semua benda ada prosesnya. Nak jadi lebih cekap urus kewangan, anda mesti sertai kelas dan seminar kewangan yang ada. Bak kata orang, melabur dalam diri sendiri dulu. Belajar dan carilah mentor kewangan yang berautoriti. 

 

Sebab bila anda berguru, akan jadi lebih mudah sebab anda diberi bimbingan untuk capai tahap kewangan yang anda impikan.

Tip #4 Asingkan Gaji Bulanan

Sebagai seorang yang berpendapatan, adalah wajib untuk anda asingkan gaji anda setiap kali hari gaji. Bagi saya, mengasingkan gaji ada banyak kebaikannya seperti:

 

  • Boleh allocate gaji kepada simpanan, pelaburan, bayar hutang, perbelanjaan dengan lebih mudah dan sistematik.
  • Boleh kawal perbelanjaan.
  • Tak mudah terusik/ terambil bahagian yang telah diperuntukkan khas untuk keperluan lain.

 

Sebenarnya ada banyak formula pengasingan gaji yang anda boleh aplikasikan. Tapi kalau cara saya, saya lebih suka gunakan Teknik 3 Bank yang pernah saya kongsikan dalam artikel sebelum ini. Boleh baca di sini.

 

Kunci utama untuk mengurus kewangan dengan membuat pengasingan gaji ini adalah dengan berdisiplin. Sia-sia buat pengasingan gaji kalau anda masih usik simpanan anda. Tanamkan sikap disiplin yang tinggi kalau anda betul-betul serius untuk urus kewangan.

 

Tip #5 Bezakan keperluan dan kehendak

Sebagai seorang manusia, kita pasti ada keperluan dan kehendak masing-masing. Keperluan biasanya sama saja bagi setiap orang. Contoh seperti pakaian, tempat tinggal dan makanan. Tapi kalau kehendak, ia sangat berbeza bagi setiap orang dan tujuannya adalah untuk memenuhi keselesaan hidup.

 

Contohnya anda nak beli kasut untuk keperluan ke pejabat. Ada kasut yang berharga RM40 vs RM150. Di sini akan nampakkan cara anda mengurus kewangan. Sama ada anda akan lebihkan keperluan atau kehendak.

 

Apa yang penting sekali, untuk mengawal perbelanjaan, anda mesti dahulukan keperluan berbanding kehendak sebab tanp kehendak, anda masih boleh teruskan hidup macam biasa. Kalau anda masih lebihkan kehendak, pastikan perbelanjaan anda tidak melebihi kemampuan.

 

Kesimpulannya, 5 tip urus kewangan yang saya kongsikan di atas adalah tip yang sangat mudah dan praktikal. Setuju?

 

Tidak ada istilah rumit atau menyusahkan bila anda mula biasakan perkara yang beri manfaat terhadap kewangan anda. Apa yang paling penting, mengurus kewangan mesti diasah dan dilatih sejak kecil lagi. Supaya, tidaklah kekok bila sudah ada pendapatan sendiri nanti.

 

Untuk anda yang baru nak ubah cara anda mengurus kewangan, jangan risau.. Tak pernah ada istilah terlambat untuk memperbaikinya. Semoga dengan tindakan anda hari ini dalam berusaha mengurus kewangan dengan bijak dapat melahirkan generasi yang lebih berwawasan terhadap pengurusan kewangan.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.