5 Cara Capai Matlamat Kewangan

Uncategorized Oct 14, 2022

Setiap orang dalam dunia ini pasti ada matlamat kewangan yang hendak dicapai dalam hidup. Nak ada simpanan berkepuk, pakai kereta mewah, ada rumah ala istana dan macam-macam lagi. Sudah semestinya semua matlamat kewangan yang saya sebutkan itu tidak boleh dibeli dengan hanya berangan-angan.

 

Realiti hari ini, ramai orang beranggapan susah untuk capai matlamat kewangan dari bawah. Sampai ada satu tahap ada yang sanggup memijak maruah diri sebagai shortcut untuk capai matlamat kewangan dengan lebih cepat. Na‘udzubillah min zalik!

 

Sebenarnya, nak capai matlamat kewangan ada cara yang betul. Jadi, ikuti perkongsian pada kali ini yang akan membincangkan tentang 5 cara capai matlamat kewangan supaya anda boleh design matlamat kewangan anda dengan cara yang terbaik.


Cara #1 Buat perancangan

“Gagal merancang, sebenarnya anda merancang untuk gagal”

 

Perancangan adalah segala-galanya untuk anda capai matlamat kewangan. Anda mesti ada perancangan yang rapi dan tersusun dari sekarang untuk bina masa depan kewangan yang baik. Matlamat tanpa perancangan umpama anda bawa kereta tapi tak tahu nak ke mana.

 

Mulakan dengan menyenaraikan semua matlamat kewangan anda satu per satu. Contohnya:

 

  1. Nak kumpul deposit beli kereta
  2. Nak buat simpanan RM300 sebulan
  3. Trip bercuti ke Pulau Perhentian dan seterusnya

 

Kalau boleh, senaraikan perancangan sebanyak yang mungkin supaya lebih mudah untuk anda buat cara yang seterusnya iaitu tentukan matlamat kewangan.


Cara #2 Tentukan matlamat kewangan

Matlamat kewangan dibahagikan kepada dua jenis iaitu matlamat jangka panjang dan matlamat jangka pendek. Biasanya matlamat jangka panjang mengambil masa yang lama untuk anda realisasikan matlamat tersebut. Dalam lingkungan jangka masa satu tahun dan ada yang mencecah sehingga 20 tahun ke atas. Contohnya simpanan pendidikan untuk anak-anak.

 

Manakala matlamat jangka pendek pula boleh anda capai dalam masa beberapa hari, minggu, bulan sehingga setahun. Contohnya bercuti dan melawat ke destinasi menarik.

 

Kembali pada perbincangan tentang cara untuk tentukan matlamat kewangan, anda mestilah memenuhi kriteria S.M.A.R.T yang dicetuskan oleh George T.Doran iaitu:

 

S: Specific (Terperinci)

Matlamat mestilah terperinci supaya anda boleh membuat perancangan dengan jelas seperti apa yang hendak dicapai? Kenapa anda perlu capai? Bagaimana untuk capai? Siapa yang terlibat dan di mana?

 

M: Measureable (Boleh diukur)

Sesuatu yang boleh diukur supaya anda dapat melihat progress dan membuat penilaian semula apabila diperlukan. Contohnya, anda akan buat simpanan RM360 dalam masa setahun.

 

A: Attainable (Boleh dicapai)

Anda boleh realisasikan matlamat kewangan anda dalam tempoh masa yang anda sendiri tetapkan. Contohnya, untuk capai RM360 setahun, anda mesti mula menyimpan RM30 secara konsisten setiap bulan.

 

R: Relevant (Munasabah)

Matlamat anda mesti munasabah dengan nilai dan objektif jangka masa panjang yang anda tetapkan. Contohnya anda nak ada simpanan RM100 ribu dalam masa dua tahun, agak tidak relevan jika hanya menyimpan RM360 setahun.

 

T: Time-based (Berdasarkan masa)

Mesti ada jangka masa supaya anda lebih bermotivasi untuk beri keutamaan kepada matlamat kewangan anda. Contohnya anda beri masa 6 bulan untuk anda naik pangkat dan dapatkan kenaikan gaji.

 

Secara asasnya, kriteria S.M.A.R.T ini boleh membantu anda untuk fokus dalam mengejar peluang supaya anda boleh capai matlamat kewangan dengan lebih tersusun dan berobjektif.


Cara #3 Kaji belanjawan

Anda suka berbelanja? Saya fikir mustahil untuk anda jawab tidak suka.

 

Tapi kalau saya tanya adakah anda mempunyai belanjawan? Mungkin ada, mungkin juga tidak. Belanjawan menurut kamus Dewan Bahasa bermaksud peruntukan wang untuk sesuatu keperluan atau sesuatu jangka masa waktu. 

 

Kebanyakan orang fikir, belanjawan adalah suatu perkara yang remeh dan tidak penting. Sedangkan belanjawan sangat penting untuk anda pastikan duit anda dibelanjakan dengan baik. Dalam belanjawan anda akan lebih tahu, berapa yang dibelanjakan untuk makanan, kenderaan, peruntukan untuk simpanan, hutang dan banyak lagi.

 

Dalam erti kata lain, belanjawan bantu anda untuk track ke mana duit anda. Tak remeh pun, zaman sekarang lebih mudah dan canggih dengan aplikasi di telefon pintar anda. Saya pernah kongsikan di YouTube Channel Dr Adam Zubir tentang aplikasi seperti spending tracker. Sebenarnya ada banyak lagi aplikasi yang ada. Ini cuma contoh saja sebab saya sendiri masih menyimpan sejarah perbelanjaan saya dalam aplikasi spending tracker ini sejak 2015.

 

Mengkaji belanjawan bertujuan untuk memperbaiki tabiat perbelanjaan. Dari sejarah yang direkodkan, anda akan lebih berdisiplin untuk menguruskan kewangan. Bukan apa, kadang diri sendiri susah nak buang tabiat berbelanja secara tidak terkawal. Bila ada duit, syok sangat berbelanja. Sampai tak sedar yang duit “bocor” di tengah bulan. 

 

Bila dapat kaji belanjawan, sekurangnya boleh menimbulkan keinsafan dari sikap boros berbelanja. Tak gitu?





Cara #4 Pelbagaikan pendapatan

Tak salah untuk anda tambah pendapatan alternatif selain hanya bergantung kepada kerja hakiki. Mungkin ada yang menganggap sudah terlalu penat dan padat dengan komitmen kerja yang ada. Tak ada masa nak buat kerja tambahan.

 

Jangan risau. Zaman sekarang ini banyak sangat peluang untuk jana pendapatan. Nak atau tidak saja. Janji ada smartphone dan internet, anda boleh besarkan pendapatan sedia ada. Carilah perniagaan dalam talian yang tidak memerlukan komitmen anda untuk pegang stok mahupun menghantar barang. Jadi, anda tak perlu ambil masa yang lama sangat nak capai matlamat kewangan bila pendapatan anda dipelbagaikan.



Cara #5 Simpan dalam instrumen pelaburan

Daripada anda simpan duit anda dalam bank selama bertahun-tahun, lebih baik anda cari instrumen pelaburan untuk anda “parking” duit anda. Daripada biar dalam bank yang tiada manfaat keuntungan serta terdedah dengan risiko inflasi, pelaburan adalah tindakan yang bijak. Sekurang-kurangnya duit anda boleh digandakan.

 

Uniknya bila anda menyimpan dalam instrumen pelaburan, anda tak perlu tenaga yang banyak untuk gandakan pendapatan anda. Sebab pelaburan salah satu alternatif untuk dapatkan pendapatan pasif. Berbanding kalau anda berniaga secara fizikal. Anda kena buat banyak benda untuk dapat keuntungan. Tapi kalau pelaburan, masa tidur pun anda boleh buat duit.

 

Satu perkara yang anda perlu jelas, pelaburan juga ada pelbagai jenis risiko. Risiko rendah, sederhana dan tinggi. Jadi mana satu pilihan anda? Sudah semestinya setiap instrumen pelaburan ada risiko dan pulangan yang berbeza.

 

Secara kesimpulannya, untuk mencapai matlamat kewangan yang anda impikan tidaklah sesukar yang anda bayangkan. Tak kiralah anda bukan berasal dari keluarga yang kaya dan berada, semua orang ada peluang untuk ubah kehidupan masing-masing. Terutama kepada mereka yang berusaha dan kerja keras untuk memperbaiki tahap kewangan. 

 

Semoga perkongsian tentang 5 cara capai matlamat kewangan yang saya kongsikan dalam artikel kali ini dapat menyuntik semangat untuk anda dari pelbagai lapisan masyarakat untuk terus berjuang merealisasikan impian menjadi kenyataan. 




Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.