3 Tips Gandakan Income Jika Gaji Rendah

income Mar 24, 2022

Ramai orang muda bertanya kepada saya, jika gaji rendah macam mana nak menyimpan sebahagian duit gaji untuk masa depan? Inilah hakikatnya! Jika kita lihat, purata gaji di Malaysia masih berada di tahap yang rendah. Tidak setanding dengan kos sara hidup yang semakin tinggi saban tahun.

 

Mungkin ada dikalangan anda mula pening kepala bagaimana mahu keluar dari belenggu masalah ini. Atau mungkin juga masalah ini dihadapi oleh keluarga dan sebahagian kenalan anda. Oleh itu, hari ini saya akan menjawab persoalan berkenaan isu gaji rendah ini dengan berkongsi 3 Tips Gandakan Duit Orang Muda Yang Bergaji Rendah. Tips untuk gandakan duit gaji yang sangat mudah dan praktikal, jom kita amalkan!


TIPS #1 BUAT FORCE SAVING

Tips pertama dah buat kita rasa tak selesa kan? Siapa yang suka kena paksa? Lagi-lagi kena paksa simpan duit. Apa kata anda cuba dahulu, baru anda akan tahu duit gaji anda berganda atau tidak. Paksa diri untuk menyimpan sejumlah duit daripada gaji anda dan lupakan tentang duit itu. Adakalanya dengan cara ini boleh membantu anda agar lebih berdisiplin menguruskan duit. Pengasingan duit simpanan sangat penting untuk mengelakkan anda cuai dari membelanjakan duit tersebut. Anda boleh simpan duit tersebut ke dalam :

 

  • Tabung Haji
  • ASB (Amanah Saham Bumiputera)

 

Dua platform di atas sangat bagus sekiranya mereka yang bergaji rendah langsung tidak ada asas dalam pelaburan. Sekurang-kurangnya, duit anda boleh digandakan secara perlahan melalui dividen yang diberi setiap tahun. Nak jadikan step force saving ini lebih praktikal? Boleh buat auto deduction sebaik sahaja gaji anda masuk. Saya juga sarankan mereka yang memiliki gaji rendah agar mencari instrumen pelaburan yang ‘paksa’ anda buat bayaran seperti ASBF (ASB Financing). Tidak perlu melabur jumlah duit yang besar. Allocate RM100- RM200 sebulan daripada duit gaji ke dalam ASBF pun sudah memadai. Dengan cara ini anda boleh gandakan duit secara tidak langsung kerana konsepnya seperti anda gunakan duit bank untuk mendapat pulangan dividen hasil jumlah yang dilaburkan.


TIPS #2 BUAT DUIT TEPI

Zaman sekarang, kalau semata bergantung pada satu sumber pendapatan sahaja mungkin tidak cukup. Sebab itu ramai orang muda yang sudah memiliki pekerjaan tetap memanfaatkan masa terluang mereka untuk buat duit tepi.

 

Duit tepi yang dimaksudkan ialah buat side income. Kalau anda nak tahu, aset paling berharga yang ada pada orang muda bukanlah duit tetapi tenaga dan masa yang panjang untuk memperbaiki masa hadapan terutama berkaitan kewangan. Pada usia beginilah anda mempunyai fleksibiliti untuk bekerja keras meringankan bebanan hidup. Cari ‘duit tepi’ atau pendapatan tambahan yang memberi pengalaman untuk upgrade skill terutama ilmu berkaitan sales dan marketing. Dari pengalaman peribadi saya, dua kemahiran ini yang banyak mengubah dan memudahkan hidup saya untuk gandakan duit sedia ada. Jadi kenapa tidak untuk anda mencuba sesuatu yang baharu?

 

Jangan takut untuk mencuba.

Selagi mana anda tidak mencuba, selagi itu anda tidak tahu berapa jauh potensi yang boleh anda capai. Kita tidak mahu bila anda sudah tua, anda masih bekerja keras mencari duit untuk menyara keluarga. Kita tidak mahu bila anda sudah tua, anda rasa menyesal tidak memulakan apa-apa untuk mengubah hidup.

 

Ingat semula apa matlamat anda buat side income? Kalau untuk simpanan, jangan sesekali gunakan duit tersebut untuk berbelanja sesuka hati. Walaupun suatu masa nanti anda berjaya mendapatkan pulangan duit berlipat kali ganda dari side income, jangan beralih dari niat asal anda.

 

TIPS #3 TAMBAH ILMU KEWANGAN 

“Be a lifelong student. The more you learn, the more you earn and the more self-confidence you will have” - Brian Tracy

 

Saya sangat sukakan kata-kata dari Brian Tracy ini. Orang yang sentiasa belajar akan sentiasa menang. Nasihat saya untuk orang muda, jangan lupa untuk allocate sedikit duit anda untuk belajar ilmu pengurusan kewangan dan ilmu pelaburan. Serius, pelaburan ilmu suatu pelaburan yang tidak pernah sia-sia! Malah dengan ilmu yang betul sahaja anda akan bijak menggandakan duit gaji anda. Tak kisah anda ada SPM, diploma mahupun degree, itu semua bukan kayu ukur dalam menempuh alam realiti.

 

Ada banyak cara untuk anda menggandakan duit gaji antaranya melalui saham, memulakan perniagaan, property dan banyak lagi! Cuba tanya diri anda, instrumen kewangan apa yang anda benar-benar kuasai? Peluang menggandakan duit sudah ada di depan mata, sampai bila anda mahu tangguhkan? Masalah orang muda zaman sekarang ialah mahu result yang segera tanpa ilmu. Bila tersilap langkah, duit yang ada habis begitu sahaja.

 

Kesimpulannya, sebagai orang muda yang sedang mengejar kewangan yang stabil dan gaya hidup yang lebih baik, tabiat berbelanja perlu kita ambil perhatian dengan lebih serius. Tips yang saya kongsikan untuk gandakan gaji ini boleh dipraktikkan oleh sesiapa sahaja terutama orang muda yang bergaji rendah. Saya faham hidup ini banyak cabaran untuk kita menahan diri dari berseronok menggunakan duit. Tetapi pokok pangkalnya, tidak kira gaji tinggi atau gaji rendah, isunya berbalik pada diri sendiri. Sekiranya gaji anda tinggi tetapi anda tidak buang tabiat berbelanja yang tak ingat dunia, sampai bila-bila ada berasa tidak cukup dengan duit gaji yang ada.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.