3 Tip Simpan Duit Untuk Kahwin

simpanan Jun 02, 2022

 Kata orang, kahwin ini berlaku sekali seumur hidup. Sebab itu ada yang sanggup ikat perut untuk simpan duit. Semua benda kena all out daripada persiapan baju, makanan, make up, hantaran, pelamin dan macam-macam lagi.

 

Tidak dinafikan ada juga yang sanggup berhutang untuk merealisasikan majlis perkahwinan. Mereka mengambil jalan tengah untuk dapatkan duit dengan cepat dan mudah. Lagi pula permohonan pinjaman boleh buat dihujung jari sahaja. Nak buat kad kredit atau mohon pinjaman peribadi, sudah tidak memakan masa yang panjang seperti dahulu. Jadi tidak hairan hutang jadi pilihan sesiapa saja untuk penuhkan keinginan hari bahagia mereka. 

 

Bagi mengelakkan diri anda terjebak dari budaya hutang untuk berkahwin, adalah lebih baik anda ikuti perkongsian saya pada kali ini dengan mengaplikasikan 3 tip simpan duit untuk kahwin demi masa depan rumahtangga yang bebas dari hutang jahat.

 


Buat kiraan duit simpanan yang diperlukan untuk majlis kahwin
Sumber: Freepik

Tips 1# Tahu berapa duit simpanan yang diperlukan

Anda mesti tahu, berapa jumlah duit simpanan yang perlu anda sasarkan untuk kegunaan majlis kahwin anda nanti. Nak lebih jelas, cuba anda buat checklist perkara yang hendak anda belanjakan. Contohnya sewa dewan, catering, sewa kanopi dan macam-macam lagi. Andai kata jumlah keseluruhan adalah RM30,000. Cuba sedaya upaya untuk tetap dengan matlamat ini. 

 

Jangan sesekali tersasar dengan perkara yang tidak anda senaraikan seperti contoh bayaran artis jemputan, pertunjukan silat dan lain-lain. Kalau itulah yang terjadi, kos asal RM30,000 boleh jadi RM50,000. 

 

Adakah itu yang anda mahukan?

 

Tiada siapa yang halang sekiranya anda hendak buat majlis yang gah dan meriah. Cuma, sebolehnya elakkan lari dari perancangan asal sehingga menyebabkan anda berbelanja secara berlebihan. 

 

Saya sama sekali tidak galakkan anda menyimpan tanpa matlamat yang jelas. Tanpa matlamat, anda akan mudah terbabas dari landasan sebenar. Biasalah bila ada duit lebih, kita akan cenderung berbelanja mengikut keinginan kita. Kalau boleh tulis matlamat anda dan jadikan motivasi untuk capai matlamat dengan penuh disiplin.

 


Tetapkan tempoh majlis kahwin supaya target simpanan  mudah dicapai
Sumber: Freepik

Tips 2# Tetapkan tempoh untuk capai amaun tersebut

Jika anda ada hasrat untuk berkahwin pada suatu masa nanti, anda wajib buat perancangan. Anda mesti tetapkan berapa lama tempoh yang anda perlukan untuk realisasikan majlis kahwin anda. 

 

Adakah setahun? 5 tahun atau 10 tahun lagi? 

 

Langkah ini untuk memudahkan anda buat tips yang seterusnya. Diri anda akan mudah terpandu untuk buat simpanan secara konsisten dengan menentukan tempoh simpanan sebelum melangsungkan majlis kahwin. Contohnya anda bakal berkahwin 5 tahun lagi pada masa akan datang. Bermaksud anda perlu kumpulkan jumlah simpanan sasaran anda iaitu RM30,000 dalam masa 5 tahun dari sekarang.

 

Jadi, bila sudah tahu yang anda perlukan 5 tahun untuk simpan duit kahwin, mudahlah anda buat kiraan seterusnya. Iaitu berapa simpanan diperlukan setiap tahun dan setiap bulan.

 


Bakal pengantin mesti tahu berapa peruntukan untuk menyimpan setiap bulan dan setiap tahun
Sumber: Freepik

Tips 3# Tahu berapa simpanan setiap tahun/bulan

Cuba anda kira simpanan yang diperlukan setiap tahun mengikut jumlah sasaran yang anda tetapkan di atas.

 

RM30,000 bahagi 5 tahun = RM6,000 setahun.

 

Disini anda boleh nampak, simpanan tahunan yang anda perlukan adalah sebanyak RM6,000.

 

Jadi berapa amaun yang diperlukan setiap bulan untuk mencapai RM6,000?

 

RM6,000 bahagi 12 bulan (Setahun bersamaan 12 bulan) = RM500 sebulan.

 

Orang kata, ukur baju di badan sendiri.

Adakah anda mampu buat simpanan RM500 sebulan secara disiplin sepanjang 5 tahun?

 

Kalau anda masih pelajar yang hanya bergantung pada duit pinjaman dan masih belum ada pendapatan, saya sarankan anda untuk mula ambil tahu tentang pelaburan dan pendapatan tambahan. Apatah lagi mereka yang mempunyai sumber pendapatan. Jangan harapkan satu sumber sahaja. Jika anda harapkan simpanan semata-mata, anda akan rasa menyimpan RM500 adalah suatu benda yang mustahil. Komitmen dan kos sara hidup semakin meningkat. Jadi anda mesti bijak dan bekerja keras mencari peluang.

 

Anda boleh ceburkan diri dalam online business atau buat perkhidmatan penghantaran, buat affiliate dan lain-lain. Terlalu banyak cabang untuk menjana pendapatan tambahan pada masa sekarang. Bergantung pada minat dan pengurusan masa anda untuk membahagikan komitmen kerja hakiki dengan pekerjaan sampingan. Duit tambahan yang ada, anda boleh diversify ke dalam instrumen pelaburan yang memberi dividen setiap tahun. 

 

Kesimpulannya, menyimpan duit untuk tujuan kahwin tidaklah sukar tapi tidak juga mudah. Mungkin sedikit sebanyak memberi cabaran untuk anda memenuhkan simpanan, tapi itu lebih baik daripada anda terpaksa menanggung hutang demi majlis kahwin yang hanya berlangsung beberapa jam sahaja.

 

Apa pun, fasa perkahwinan tidak terhenti sehingga majlis kahwin semata. Ada kehidupan selepas majlis kahwin yang perlu lebih diutamakan. Berhutang untuk buat majlis kahwin mungkin boleh selesaikan masalah anda sekarang, tapi tidak untuk masa akan datang.  

 

Jadi, buatlah simpanan dari sekarang. Tak adalah bila dah jumpa jodoh nanti baru kalut nak kumpul duit kahwin. Kata sekali seumur hidup, tak gitu?

 

 

 

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.