3 Salah Faham Tentang Unit Trust

unit trust May 19, 2022

Unit Trust adalah salah satu bentuk “kenderaan” untuk orang ramai mencapai matlamat kewangan. Tapi ramai orang terlepas pandang, setiap instrumen pelaburan sentiasa ada risikonya. Anda perlu jelas, Unit Trust sama seperti pelaburan lain. Tiada siapa yang boleh meneka sama ada anda pasti untung atau rugi sebaik sahaja anda laburkan modal anda. 

 

Bila sebut tentang tiada jaminan keuntungan dan pelaburan berisiko, tidak bermakna anda boleh tenggelam dengan salah faham masyarakat tentang Unit Trust. Salah faham yang wujud dalam mentaliti masyarakat menjadikan anda terlepas peluang untuk anda pastikan pelaburan mana yang sesuai dengan anda. 

 

Dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan 3 salah faham tentang Unit Trust agar anda melihat lebih jelas potensi Unit Trust dalam meningkatkan tahap kewangan anda. 



Sumber: freepik

Salah faham #1 Masuk ketika pasaran sedang “menaik”

Market atau pasaran sedang naik menandakan pasaran tersebut mendapat permintaan yang tinggi oleh para pelabur. Pada ketika ini, harga pasaran turut meningkat yang mana akan memberi keuntungan kepada para pelabur. 

 

Tapi, melabur ketika pasaran sedang rancak menaik tidak sebesar keuntungannya bila anda masuk melabur ketika pasaran sedang jatuh. Ini kerana ketika pasaran sedang naik, anda membeli dengan harga yang agak tinggi. Manakala ketika pasaran jatuh atau menurun, anda membeli unit amanah pada harga yang murah.

 

Mana lagi untung?

 

Sudah semestinya keuntungan lebih berpihak pelabur yang membeli pada harga murah. Disini anda mesti tahu, entry point memainkan peranan sama ada anda mendapat pulangan yang memberangsangkan ataupun tidak. 

 


Unit Trust boleh menjana keuntungan dalam jangka masa lebih cepat
Sumber: freepik

Salah faham #2 Selalu dikaitkan dengan jangka masa panjang

Unit Trust memang sesuai dijadikan instrumen pelaburan untuk matlamat jangka sederhana dan panjang. Tapi itu tidak bermakna anda tidak boleh buat keuntungan dan pulangan dalam jangka masa yang lebih cepat. Sebenarnya jika anda melabur dalam dana yang betul, pada masa yang betul, anda juga boleh buat keuntungan dalam jangka masa lebih cepat dari yang anda jangkakan.

 


Terdapat perbezaan antara saham dan Unit Trust iaitu dari sudut kaedah pengurusan modal
Sumber: freepik

Salah faham #3 Unit Trust sama macam saham

Bila bercakap tentang Unit Trust, orang sering terbayang seperti melabur dalam saham. Anda mesti tahu, walaupun matlamat pelaburan adalah menggandakan duit sedia ada, tetapi kaedah pelaburan adalah berbeza. Sebelum ini saya pernah kongsikan beza pelaburan saham dan Unit Trust di Malaysia. Anda boleh lihat di sini.

 

Dalam Unit Trust anda dibantu oleh pengurus dana untuk membuat strategi ke mana dana anda patut dilaburkan. Anda tidak perlu pening kepala untuk membuat analisis pergerakan pasaran setiap masa sebab anda sudah mewakilkan kepada orang yang berpengalaman dan pakar untuk melabur bagi pihak anda.

 

Berbeza dengan saham, ia bergantung sepenuhnya kepada diri anda sebagai pelabur untuk membuat analisis bagi memahami pasaran secara keseluruhan.

 

Kesimpulannya, Unit Trust mempunyai keunikan yang tersendiri dalam mengembangkan duit anda. Sekali lagi saya katakan, risiko sentiasa ada dalam kamus pelaburan. Anda mesti jelas, setiap risiko boleh diminimumkan dengan anda meningkatkan lagi ilmu tentang pelaburan. Ilmu inilah yang akan lindungi anda daripada mitos dan salah faham tentang apa saja pelaburan di luar sana. 

 

Sebab kalau bukan anda yang cakna tentang pelaburan anda, siapa lagi?

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.